SATU DEMI SATU 'DITELAN' SUNGAI
"YA ALLAH! Zikri.. Ayoi.. tolong aku!" Itu ungkapan terakhir mangsa pertama tragedi lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap dekat sini yg mengorbankan 3 remaja manakala 5 lagi rakan mereka masih hilang, semalam.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang
berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya,
tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang
cuba membantu turut hilang. Sehingga jam 11.00 malam tadi, tiga mayat ditemui iaitu Mohd Hafizul Daniel Norhashim, Mohd Zikri Zaidi dan Naz-rul Aminuddin. Ketiga-tiga mayat itu ditemui dasar sungai berhampiran satu sama lain.
Daripada lapan remaja berkenaan, dua daripada mereka adalah adik beradik, iaitu Mohd Zikri dan abangnya, Mohd Zaki. Empat lagi rakan mangsa, Mohd Shahrul Abd Halim, 14; Mohd Amerul Shah
Ammar, 14; Hafizuddin Zamri, 15; Norshafila Abdullah, 16, terselamat
kerana tidak terjun ke dalam sungai selepas melihat satu demi satu kawan
baik mereka ‘ditelan sungai’.
Semua remaja berkenaan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.
PASIR JERLUS
Kejadian dipercayai berpunca daripada pasir jerlus di Sungai Muar
dekat Buloh Kasap, yang seolah-olah ‘menyedut’, mangsa apabila terpijak
dasar sungai itu. Apabila mangsa memijak dasar sungai yang mencecah kedalaman sehingga
enam meter, kaki terbenam dan ‘disedut’ sehingga gagal menyelamatkan
diri.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Datuk So’iman Jahid, berkata lokasi mempunyai kedalaman
lebih berbanding tempat lain kerana kegiatan mengorek pasir dilakukan di
kawasan itu.
“Cuaca panas sejak kebelakangan menyebabkan air sungai menjadi cetek
sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus di tengah sungai.”
katanya.
Sebelum kejadian itu, 12 remaja berkenaan dari Taman Mewah, yang
terletak kira-kira dua kilometer dari sungai itu, berjoging di tepi
sungai berkenaan. Mereka yang berjoging kira-kira jam 6.30 pagi, singgah menghirup udara pagi di tepi Sungai Muar berhampiran lokasi kejadian.
Mohd Shahrul berkata, ketika berada di tepi sungai itu, ada dalam
kalangan mereka mengingati sesama sendiri supaya tidak pergi ke gigi air
kerana bimbang terjatuh. Belum habis bercakap, tiba-tiba Mohd Hafizuddin tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai dan tangan terkapai-kapai.
Dalam keadaan cemas dan panik, Nazrul atau dikenali Ayoi, meminta
rakannya yang terkapai-kapai dalam sungai supaya bersabar dan
mengarahkan rakan di darat mencari tali dan kayu. Bagaimanapun, belum sempat empat rakan yang berada di darat mendapatkan tali atau kayu, Ayoi turut tenggelam.
Melihatkan seorang demi seorang rakan mereka hilang, Mohd Shafiq dan
Mohd Hafizul Daniel, nekad terjun untuk menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun, kedua-duanya turut mengalami nasib yang sama.
Mohd Shahrul berkata, Mohd Zaki pula tanpa berfikir panjang, terus
terjun untuk menyelamatkan tujuh rakan yang sudah tenggelam, tetapi dia
juga tenggelam.
“Kami berempat tergamam apabila melihat kelapan-lapan teman baik
semuanya tidak timbul.” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku
dalam masa kurang lima minit.
Sementara itu, Mohd Amerul Shah berkata, dia yang panik dan terkejut, menelefon ibu dan bapa mangsa untuk mendapatkan bantuan. Norshafila, satu-satunya perempuan dalam kumpulan itu, berlari pulang ke rumah bagi memaklumkan kepada keluarga.
AL-FATIHAH..
No comments:
Post a Comment