Wednesday, February 19, 2014

ENGKU EMRAN DIBERI HAK PENJAGAAN ENGKU ALEESYA


Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon dan pengacara program Primadona, Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa. Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari. Penceraian tersebut dilakukan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 [Negeri Selangor].

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut. Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi.


Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida dan suami Umie iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan. Kemunculan Erra agak mengejutkan apabila dia memakai topeng menutup mukanya. 

Pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu memfailkan permohonan cerai dan hak penjagaan anak mereka menerusi peguam syarie, Ahmad Nazib Johari selaku plaintif pada Isnin. Manakala Engku Emran diwakili peguam syarie, Roslan Sujak Rafiee. Ketika di mahkamah Erra menjelaskan, permohonan cerai dibuatnya selepas hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman selain tidak tinggal bersama sejak setahun lalu.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut bersetuju untuk menyelesaikan hak penjagaan anak mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun tanpa sebarang pertikaian. Engku Emran selaku defendan diberikan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak perempuan mereka manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan. Pelakon itu juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya.

Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida ketika tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam

Sementara itu, Erra ketika ditemui media selepas sebutan kes tersebut memberitahu lega segala spekulasi mengenai rumah tangganya selesai. "Penceraian ini berlaku secara baik dan Alhamdulillah semuanya selesai." katanya. Bagaimanapun, Engku Emran enggan mengulas mengenai penceraian mereka.

Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007. Sebelum itu Erra bertemu jodoh dengan penyanyi Yusry Abdul Halim dan bernikah pada 15 Jun 2003. Mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa dikurniakan cahaya mata.


Kalau sudah tertulis jodoh sampai ke sini saja, apa lagi yang mampu kita lakukan?! Semoga tanggungjawab selaku ibu dan bapa kepada Engku Aleesya tidak akan diabaikan oleh Erra dan Engku Emran. Sama-samalah kita doakan yang terbaik buat mereka. Takziah atas penceraian ini. Hanya mereka yang tahu apa yang terbaik.  
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...