Thursday, December 12, 2013

MASJID NEGARA dan MAKAM PAHLAWAN


MASJID NEGARA Malaysia terletak di Kuala Lumpur. Dibina antara 1963 dan 27 Ogos 1965, Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Ia boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.

LOKASI

Terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia, Bangunan Daya Bumi, Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana. Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya terdapat 7 buah pintu masuk. Kemudahan untuk pelancong bukan Islam juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.

Sebelum terbinanya Masjid Shah Alam, Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat perpaduan dan toleransi. Ia direka bentuk oleh orang berketurunan Melayu, dibina oleh orang berketurunan Cina dan India dan dibiayai oleh sumbangan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh para arkitek Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.

Sekali pandang, menaranya berukuran 245 kaki tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbungnya kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam. Permakaman untuk 7 pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.

Terdapat 3buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Di tingkat bawah ruang depan terdapat beberapa buah bilik untuk berwuduk, bilik mandi, tempat menyimpan kasut dan bilik berehat bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur. Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran.
 
Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul, Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.

Hasrat untuk membina masjid ini timbul sebulan sebelum hari kemerdekaan. Sebuah majlis yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Kerja Persekutuan memutuskan untuk mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, terhadap jasa-jasanya kepada rakyat. Selepas mencapai kemerdekaan, Majlis Raja-Raja memperkenankan projek tersebut. Bagaimanapun, Tunku tidak mahu masjid dinamakan sempena namanya, tetapi sebaliknya mencadangkan ia dinamakan "Masjid Negara."

MAKAM PAHLAWAN


Makam Pahlawan adalah sebuah tempat perkuburan khas yang terletak di pekaranganMasjid Negara Kuala Lumpur. Makam ini dibina bersama-sama dengan Masjid Negara sebagai tempat khas untuk pemimpin dan wira yang banyak berjasa semasa hidup mereka. Kawasan Masjid Negara dan Makam Pahlawan direka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Malaysia [JKR] iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharudddin Kassim. Kawasan ini mula dibina pada tahun 1963 dan siap pada tahun 1965.

Kawasan makam yang unik ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian dalam dan luar. Bahagian dalam dilitupi dengan kubah konkrit yang berbentuk bintang pecah sebanyak tujuh yang menempatkan beberapa makam. Kubah berbintang ini mempunyai penjuru yang setiap satunya hampir mencecah tanah serta dikelilingi kolam yang memisahkan kawasan luar. Di bahagian tengah pula direka dengan hiasan lambang negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar dari Pulau Langkawi. Bahagian tengah bumbung kubah dihiasi dengan hiasan bunga mawar berwarna emas.

Pada tahun 1973,  Tun Dr. Ismail menjadi orang yang pertama dikebumikan di sini.
Kawasan Makam Pahlawan dan Masjid Negara telah diwartakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai tapak Warisan Kebangsaan olehJabatan Warisan Negara  pada 6 Julai 2007. Majlis pemasangan plak pengisytiharan tersebut telah diadakan pada 30 April 2009.

Berikut ialah senarai pahlawan negara yang dikebumikan di Makam Pahlawan:-
Di dalam dewan... 
  •  Tun Dr. Ismail Abdul Rahman - Bekas Timbalan Perdana Menteri [meninggal dunia pada tahun 1973]
  •  Tun Abdul Razak Hussein - Bekas Perdana Menteri [meninggal dunia pada tahun 1976]
  •  Tun Hussein Onn - Bekas Perdana Menteri [meninggal dunia pada tahun 1990] 
  •  Tun Ghafar Baba - Bekas Timbalan Perdana Menteri [meninggal dunia pada tahun 2006]
  •  Toh Puan Norashikin Mohd Seth - Balu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman [meninggal dunia pada tahun 2010]
Di luar dewan...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...