Wednesday, October 30, 2019

SEJARAH PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH DI BATANG BERJUNTAI

 

Syarikat Berjuntai Tin Dredging Bhd merupakan syarikat pengeluar timah terbesar di Malaysia. Syarikat ini bertanggungjawab menyediakan kuarters perumahan kepada pekerjanya sehingga wujudnya Kampung Berjuntai Tin yang kini dikenali dengan nama Kampung Bestari Jaya. Manakala Kampung Pasific Tin adalah penempatan para pekerja syarikat Pacific Tin Consolidated Corporation di kawasan berkenaan.

Berjuntai Tin Dredging Bhd menyumbang 5% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran timah negara. Malaysia Mining Corporation [MMC] pernah memiliki sehingga 28.6% kepentingan dalam Berjuntai Tin Dredging Bhd [kini dilupus].
Ketika zaman kemuncaknya dikatakan terdapat tidak kurang 13 buah kapal korek secara keseluruhan pernah beroperasi di lombong-lombong sekitar Batang Berjuntai, 2 darinya adalah milik Pacific Tin Consolidated Corporation manakala selebihnya milik Syarikat Senky Dredging Sdn Bhd.

 
Ketika zaman kemuncaknya dikatakan terdapat tidak kurang 13 buah kapal korek secara keseluruhan pernah beroperasi di lombong-lombong sekitar Batang Berjuntai, 2 darinya adalah milik Pacific Tin Consolidated Corporation manakala selebihnya milik Syarikat Senky Dredging Sdn Bhd.

Pada akhir tahun 80an sebuah darinya iaitu kapal korek nombor 6, terbabit dalam kemalangan kecil yang hampir menenggelamkannya.

Pasaran timah dunia jatuh pada 1983 namun meningkat sedikit pada 1988-1989. Dengan terjadinya kemerosotan yang berterusan dalam harga bijih timah dunia bermula dari 1991, syarikat cuba membuat perubahan dalam aktiviti pengeluaran dengan menggantung operasi kapal-kapal korek yang beroperasi di lombong-lombong yang mencatat hasil jumlah bijih timah yang rendah selain melakukan pemotongan perbelanjaan.

Namun pada 1993 syarikat masih tidak dapat beroperasi dengan menguntungkan kerana harga timah dunia jatuh kepada harga terendah. Syarikat tiada pilihan selain terpaksa menghentikan operasi perlombongan kapal-kapal koreknya. Akhirnya, operasi kapal korek Berjuntai Tin Dredging Bhd iaitu kapal korek nombor 2, 3, dan 7 diberhentikan daripada aktiviti perlombongan pada 1 Disember 1993. 

 

Menjelang Januari 1994, Berjuntai Tin Dredging Bhd telah mengikuti jejak Syarikat Senky Dredging dengan berhenti sepenuhnya dari menjalankan operasi perlombongan bijih timah menjadikan Perangsang Pasifik Sdn Bhd [Pacific Tin] satu-satunya syarikat yang masih meneruskan operasi salah satu dari kapal koreknya di Batang Berjuntai sebelum akhirnya terpaksa juga dihentikan pada 1995.

Pada tahun-tahun berikutnya Berjuntai Tin Dredging Bhd telah menempuh tahun-tahun yang sukar dan bertukar perniagaan dengan menceburi sektor pelaburan. Syarikat terpaksa mencairkan aset-aset miliknya termasuklah melupuskan kapal-kapal korek untuk mendapatkan aliran tunai.

Namun pada 1998, harga timah naik semula. Pada bulan Mac 1999, MMC melalui Berjuntai Tin Dredging Bhd telah mengaktifkan semula kapal korek terakhir Berjuntai Tin Dredging Bhd iaitu kapal korek nombor 3 di Batang Berjuntai bagi melombong semula rizab timah melalui pajakan perlombongan sebelum ini seperti termaktub dalam kontrak perjanjian bersama Kerajaan Negeri yang telah ditandatangani pada pertengahan 80an yang akan tamat pada 2001. 


Sebanyak 98.37 metrik tan padu bijih timah telah berjaya dilombong dari Mac 1999, melalui laporan tahun berakhir 31 Januari 2000. Manakala sebanyak 117.01 metrik tan pula pada tahun berakhir 31 Januari 2001.

Operasi kapal korek berkenaan ditutup pada Januari 2001 untuk pemeriksaan dan pembaikan menyeluruh. Kontrak singkat melombong baru selepas itu dimetrai antara Kerajaan Selangor dan Berjuntai Tin Dredging Bhd seluas 36.42 hektar bagi diusahakan oleh kapal korek nombor 3. Kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging Bhd dan yang terakhir di Batang Berjuntai itu akhirnya telah dijual pada pertengahan 2002.

 

Pada sekitar 2002 juga syarikat telah mengembangkan bentuk perniagaan utamanya dari sektor pelaburan kepada sektor pembuatan berasaskan getah dengan menghasilkan sarung tangan getah untuk pasaran dalam dan luar negara. Sebelumnya cubaan syarikat untuk menjadi syarikat pemaju hartanah tidak berjaya setelah syarikat gagal mengambil alih sebuah syarikat pembinaan. Syarikat mengalami pertukaran pemegang saham.

Pada 30 Mac 2004, syarikat Berjuntai Tin Dredging Berhad telah melakukan penjenamaan semula dengan menukar namanya menjadi Integrated Rubber Corporation Berhad. Pada bulan Ogos 2015 pula, sekali lagi syarikat telah menukar namanya menjadi Comfort Gloves Berhad. Syarikat itu kini berpangkalan di Taiping, Perak.

Sebahagian kecil lombong di Batang Berjuntai telah ditimbus dan dijadikan tapak berdirinya UNISEL hari ini. Manakala lombong-lombong yang terbiar telah menjadi tempat pembiakan ikan patin dan telah menarik ramai pemancing ikan..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...