Thursday, October 24, 2013

BRUNEI DARUSSALAM LAKSANAKAN HUKUM HUDUD


Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara Brunei termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina. Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu telah diwartakan selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji. 

Suatu masa dulu baginda pernah bertitah, “Siapa kita di hadapan Allah, untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu?! Undang-undang Islam bukan sahaja digubal malah sudah tercatat di dalam Al-Quran dan Hadis lebih 1400 tahun dahulu.”

Sebelum ini Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.

Sultan Hassanal Bolkiah, 67 tahun antara lelaki terkaya di dunia berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.

Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak. Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.


“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini tanggungjawab kita terhadap Allah sudah ditunaikan.” kata Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapannya.

Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.

Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...