Thursday, October 24, 2013

BIBIR CANTIK BAK DELIMA MEREKAH


Bibir yang mengukir senyuman lebih bermakna daripada seribu kata-kata. Bahagian inilah yang sering menjadi tumpuan apabila bertemu seseorang. Daripada senyumannya, telah dapat menggambarkan kemesraan yang bakal dilalui sepanjang mengenali seseorang itu.

Tambah lagi sekiranya bibir yang penuh dan tebal dan dipalit pula dengan gincu yang berwarna terang lagi menawan, menyerlahkan lagi keseksian si empunya wajah. Apapun hakikatnya setiap daripada kita memiliki bibir semula jadi yang cantik dan ia jadi lebih menawan dengan satu sentuhan saja. Bantuan sentuhan daripada gincu bibir telah menambahkan keseksian pada bibir. Tanpa bantuannya bibir seakan-akan mati tanpa serinya.

Kepentingan gincu bibir bagi menaikkan seri wajah seseorang wanita ini bukanlah suatu yang muncul pada zaman ketamadunan tetapi telah dipraktikkan sejak zaman kuno lagi, cuma penggunaan bahan sahaja berlainan.

Jika dahulu di zaman Babylon, wanita menggunakan bahan seperti batu semimulia yang ditumbuk dan debunya digunakan untuk mewarnai mata dan bibir, manakala bangsa Mesir kuno kemudian membuat ramuan khusus untuk gincu bibir, bahkan Ratu Mesir yang terkenal iaitu Cleopatra mengenakan warna bibir merah menyala yang dibuat daripada ramuan kumbang merah dan semut merah.

Bahkan di rantau Asia penggunaan sirih yang selalu dipraktikkan di kalangan wanita India dan Melayu untuk memerahkan bibir bagi menaikkan seri bibir yang mulus lagi seksi.

Namun begitu dengan peredaran zaman, penggunaan bahan-bahan seperti itu telah semakin ditinggalkan malah telah dilupuskan langsung kerana kemodenan reka cipta peralatan solek.

Kata-kata yang menggambarkan keseksian bibir yang sering didengar iaitu bak delima merekah menggambarkan keadaan bibir yang cantik, mungil dan menggiurkan. Bibir yang sempurna menambah rasa keindahan kepada si pemilik atau individu, ditambah palitan gincu pada bibir mengikut kesesuaian wajah bagi membangkitkan aura keperibadian tertentu.

Jarang kita melihat bibir yang tidak dipalit gincu. Setidak-tidaknya warna tanah yang bersesuaian dengan bibir agar tidak nampak terlalu pucat dan tidak berseri.

Terdapat beberapa petua yang boleh di amalkan untuk mendapatkan bibir yang sihat dan menawan.


Merawat Bibir Merekah
Atasi masalah bibir merekah dengan meminum air kelapa muda yang dicampur dengan kuning telur dan sedikit madu lebah. Amalkan meminumnya sekali dalam sehari dan nantikan hasilnya.

Bibir Merah Semulajadi
Untuk mendapatkan bibir yang merah semulajadi, amalkan dengan menyapu madu lebah di bibir semalaman [semasa tidur].

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...