Tuesday, September 11, 2012

'BUSINESS CARD'... Etika Memberi dan Menerima

Kad nama sebagaimana berjabat tangan merupakan salah satu bentuk komunikasi yang mencerminkan siapa diri anda.

Kad nama yang cantik, kemas, berkualiti adalah penting. Namun anda juga perlu memberikan perhatian terhadap etika memberi dan menerima kad nama tersebut.

Ini memberikan kenyataan yang jelas mengenai siapa diri anda samada sebagai individu mahupun sebagai seorang usahawan.

Sebab-sebab Anda Memberikan Kad Nama Perniagaan
■ Supaya orang lain mengingati anda.
■ Supaya orang lain tahu perniagaan yang anda jalankan dan jawatan yang anda sandang.
■ Supaya mudah untuk orang lain berhubungan dengan anda pada masa hadapan.

Kenapa Bawa Kad Bisnes Di Majlis Sosial?
■ Kerana anda tidak tahu bila peluang untuk menjalinkan urusan perniagaan akan berlaku, maka selalulah bersedia.

ETIKA MEMBERI KAD NAMA

#1. Berhemah dan Bergaya

Kad nama anda mewakili diri anda. Hulurkan menggunakan kedua tangan sebagai tanda hormat kepada orang yang anda telah berkomunkasi, atau memperkenalkan diri.

Kesilapan yang banyak berlaku ialah ramai diantara usahawan yang memberikan kad nama mereka kepada sesiapa sahaja termasuk yang tidak dikenali. Kad nama anda bukan flyers.

Jika anda memberikan kad nama anda kepada sesiapa sahaja, anda dilihat seperti cuba menjual kepada seramai orang yang mungkin, dan bukannya untuk menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih kukuh dan berpanjangan di masa hadapan.

#2. Hulur Kad Tepat Pada Masa

Jangan memberikan kad anda terlalu awal.

Contohnya di awal pertemuan atau perbualan. Anda mungkin dilihat seperti terdesak atau mendesak. Ini tidak elok untuk imej anda sebagai usahawan.

Pelanggan suka kepada mereka yang yakin pada diri dan perniagaan yang anda wakili.

Selain itu, elakkan daripada memberikan kad nama anda ketika orang lain sedang sibuk menjamu selera. Ini kerana pada ketika ini biasanya mereka sibuk memegang pinggan atau minuman.

Ini menyukarkan si penerima kerana mereka mungkin perlu membersihkan tangan, meletak minuman atau pinggan dan sebagainya.

Pilih waktu dimana mereka agak santai dan selesa.

#3. Pastikan Kad Anda Di dalam Keadaan Elok

Sebelum anda memberikan kad nama anda, pastikan ianya di dalam keadaan yang elok, dan yang paling utama ianya tertera nama anda dan bukan milik orang lain.

Selalu asingkan kad nama anda di ruang yang berlainan dengan kad nama yang bakal anda terima bagi mengelakkan anda memberi kad yang salah.

ETIKA MENERIMA KAD NAMA

Apabila anda menerima kad nama, pegang dan baca seketika apa yang tertera di kad tersebut.

Anda mungkin boleh menyebut nama si pemberi untuk memastikan sebutan yang betul, bertanyakan jawatan atau tugas beliau.

Ini bukan sahaja mencerminkan anda menghormati si pemberi, tetapi mencerminkan kesungguhan anda untuk mengenali mereka dengan lebih lanjut lagi.

Tindakan anda mungkin berakhir dengan menjadi pilihan utama untuk mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit.

Elakkan sama sekali menyimpan kad nama si pemberi di dalam kocek seluar, baju atau diselitkan di dalam buku, suratkhabar dan sebagainya. Ini mencerminkan anda tidak begitu menghargai pemberian dan tidak berminat dengan si pemberi.

Bagi sesetengah budaya seperti masyarakat Jepun, menyimpan kad nama yang diberi di tempat sebarangan mencerminkan tanda tidak menghormati mereka. Ini kerana kad nama ibarat pengganti diri si pemberinya.

Maka berikan perhatian di mana anda menyimpannya dengan elok dan hormat. Jika anda berurusan untuk mendapatkan kontrak dengan mereka, anda mungkin telah berjaya separuh jalan untuk menawan hati mereka.

Apa yang dibentangkan di atas adalah sebagai panduan bagi memudahkan kita berurusan dengan orang lain.

Sekiranya anda membuat kesilapan atau menyinggung perasaan si pemberi, permohonan maaf yang datang daripada hati yang ikhlas akan melenyapkan ketidak sempurnaan yang dilakukan. Yang paling utama adalah menghormati orang lain sebagaimana anda ingin dihormati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...