Thursday, September 22, 2011

MENGUBATI HATI YANG TERLUKA!


Pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ada ketikanya hati kita terluka kerana disakiti oleh orang lain atau suasana.

Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubati hati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri anda.. namun berikut adalah cara yang sering dikongsi oleh pakar.

■ Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit

Bunyinya senang nak dibuat.. tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja anda sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena 'cut connection feeling' kita dengan emosi yang lalu.

Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu.. selupa yang mungkin.. kasi kosong abis! Bulatkan azam untuk fokus kepada masa depan anda.. cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan. Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus.. tapi lakukan 'step by step' dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa.. tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

■ Buang Sikap Risau

Ada dua kesan dari sikap risau ni..

Pertama.. ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah - tanpa anda pinta.

Kedua.. memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental.

Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa. Untuk buang sikap risau.. belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.

■ Belajar Rajin Bersyukur

Ucap syukur atas kesemua yang anda ada. apa saja! Misalnya ucap syukur kerana anda masih ada 5 deria yang lengkap; anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur, anda ada kawan rapat yang memahami anda dan anda mempunya handphone kesayangan anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.

■ Belajar Menjadi Pemaaf

Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu. Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.

■ Ketawa, Ketawa dan Terus Ketawa

Ketawa bukan dibuat-buat.. tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda serta menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari 'funny side' dalam setiap situasi agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa layan kecewa sedangkan anda boleh ketawa? Come on..

■ Ubah Fikiran

Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung.. tapi kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan!

Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda.. cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.

Fikir yang baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang.

Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh tarik semua yang baik-baik?

Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam.. dinamakan hukum sebab dan akibat.

■ Hati Mesti 'Keras'

Bukan keras sembarangan.. maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan tapi balasan pada perbuatan-perbuatan anda di masa lalu. Buat baik dibalas baik.. begitu juga sebaliknya.

Cuba ingat balik kejahatan kecil yang anda lakukan pada orang lain. Mungkin ada walau anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya.

Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks! Jangan terlalu mendesak diri!

Selepas bangun tidur katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk anda.

Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik.. sungguh baik.. sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya!

Andai Itu Takdirnya...

Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita. Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai mehnah, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.

Siapa berusaha dia berjaya. Man jadda wajada waman zara'a hasoda. Hasilnya berlandaskan keikhlasan dan teguhnya iman. Siapa banyak amalnya, sekelip mata lepas titian sirat, siapa kurang amal timbangannya, mungkin terjatuh di tengah perjalanan. AWAS!

Andai itu takdirnya, katakanlah Ya Allah aku redha dengan pemberianmu. Biar setinggi mana halangan akan ku sahut, biar sejauh mana haluan, akan ku tempuh. Biar bermandi darah sekalipun akan ku berjuang hingga ke titik yang terakhir. Tidak sekali ku mengalah walaupun sesekali lelah. Indahnya jika begini wahai sahabat. Namun bukanlah semudah lafaz bicara. Hanya orang-orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa yang mampu lakukannya. Jadilah diri kita menuju kearah itu. Insya-Allah.

Lipatan sejarah terpapar. Kesusahan mengajar erti kematangan. Kegetiran mendidik erti kecekalan. Junjungan Besar kita dari kecil di duga, kehilangan bapa ketika masih belum sempat melihat dunia, kemudian ibunya menyusul pergi ketika baginda masih memerlukan seorang ibu. Jadilah baginda yatim. Tanpa berkeluh baginda tempuh. Ketika masih dahaga curahan kasih dari datuknya, Allah terlebih dahulu memanggil.

Tinggallah pula baginda bersama bapa saudaranya. Di situ terpapar jiwa besar baginda. Biarpun masih kecil baginda sudah bekerja. Mengembala kambing benar-benar mendidik baginda supaya sabar dan cekal. Ini hasilnya. Baginda mampu menyebarkan Islam di bumi tuhan walau berbagai rintangan dan cabaran. Di situlah hikmah sabar. Di situlah terselit kemanisan berjuang. Misi diimpi menjadi realiti.

Lihat pula Bilal bin Rabbah si hamba habsyi. Di hatinya hanya ada tuhan. Tidak sanggup menyerah demi akidah. Ahad! Ahad! Ahad!. Kemudian, Si Hamzah singa Allah. Tidak sesekali hatinya gerun. Demi Allah dan Rasulullah dia sanggup berjuang.

Biar hati dilapah namun Syurga yang diterjah. Sungguh Indah! Ramai lagi yang berjiwa besar. Namun mereka tetap sabar. Kerana mereka ada buah iman, mereka punya akar takwa. Sesukar mana dugaan bukan halangan. Cuma semangat yang perlu dikocakkan. Iltizam yang perlu dinyalakan. Mereka sudah membuktikan, kita bila lagi!

Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.

Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.

Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.

Andai kita diuji dengan kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan rezeki tuhan kepada yang memerlukan.

Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.

Wahai sahabat andai itu takdirnya. Terimalah seadanya. Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita semarakkan perjuangan di bumi tuhan agar kita mendapat manfaatnya di hari kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat itu pahit namun menyembuhkan. Jika ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya hanya merenung tanpa bertindak. Yakin akan janjinya. Tuhan tidak pernah berdusta.

Mencari Titik Permulaan...

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua saya masih dapat bernafas. Dengan kasih sayang-Nya jua seluruh makhluk di muka bumi masih terus bertasbih kepada-Nya.

Di sini ingin saya kongsikan serba sedikit tentang pandangan saya berkenaan pencarian titik permulaan... yang akhirnya membawa kepada titik perubahan dengan izin-Nya. Insya-Allah.

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang pemotong kayu dengan kapaknya? Bagi yang tidak mengetahuinya, suka untuk saya ringkaskan cerita tersebut.

Seorang pemotong kayu setia dengan tugasnya memotong kayu saban hari. Setiap hari hasil kayu yang dipotong meningkat dengan bilangan hari. Barangkali kejayaan ini berpunca dari pengalaman yang bertambah seiring usia.

Namun, pada suatu hari, si pemotong kayu mendapati dia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan hasil potongan kayu yang sama. Dicubanya juga untuk terus memotong, namun, hasilnya hampa. Cuma penat dan peluh yang membasahi bajunya.

Akhirnya, dia duduk termenung.. bila difikirkan kembali, bukan isu pengalaman yang menjadi punca kegagalan dia mendapat hasil kayu yang banyak, tetapi kegagalan dia untuk berhenti dan berfikir menjadi penghalangnya untuk berjaya... iaitu kapak yang semakin tumpul.

Ya, berfikir untuk mencari titik permulaan yang membawa perubahan besar.

Mencari punca

Pada pendapat saya, kadang-kala kita sering terlupa isu kecil yang berlaku di sekeliling kita boleh menjadi faktor penghalang kejayaan kita.

Seperti cerita di atas, kegagalan untuk mengasah kapak menjadi punca si tukang kayu kurang penghasilannya. Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah diasah nilai kecil yang mungkin signifikan buat kita?

Ingin saya memberi contoh dengan melihat kepada aspek kebahagian hidup. Berapa ramai antara kita yang mencari bahagia? Saya yakin pasti jawapannya ramai, tetapi, pernahkah kita menilai apakah aspek dalam diri kita yang menghalang kita dari bahagia?

Teringat saya pada tazkirah yang diberi oleh Prof. Muhaya di radio IKIM:

"Bahagialah dari dalam dan hasilnya akan terlihat di luar. Bahagialah dengan Allah. Jangan mencari bahagia dari luar."

Jelas di sini, dengan menjadikan material sebagai ukuran bahagia menjadikan kita manusia yang tidak pernah puas, lantas tidak bahagia. Duit, pangkat, harta, kecantikan... semuanya fitrah manusia. Kadangkala, perkara ini menjadi keperluan dan kebanyakan dari kita meletakkannya sebagai kehendak.

Titik permulaan... Titik penentu

Saya pasti kita semua pernah melihat pertandingan larian. Sama ada jarak dekat atau jauh, semuanya bermula pada titik permulaan yang sama. Namun, setiap peserta larian mempunyai visi, motivasi dan kekuatan yang berbeza. Namun akhirnya, hanya ada satu titik penentu iaitu garis penamat di hujung trek.

Begitu jugalah kita sebagai manusia, kita ada seribu satu titik untuk dipilih. Setiap satunya datang dengan cabaran untuk menguji keimanan. Tinggal kita untuk memilih titik mana yang mampu mengubah mimpi menjadi realiti.

Jadi saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk:

1. Mencari apakah pushing factor yang mampu menjadi titik permulaan kita untuk berubah ke arah kebaikan.

2. Tetapkan titik penentu dalam setiap permulaan kita yang pastinya mardhatillah juga menjadi ultimate goal kita.

3. Gerakkan diri dan persekitaran untuk berubah sama ke arah kebaikan. Sebarkan kebaikan, moga dengan izin Allah ia mampu membentuk masyarakat yang cemerlang.

4. Teruskan mengasah "kapak" anda. Andai tiada "pengasah", rujuklah pada pakarnya. Banyakkan bertanya pendapat orang yang faqih dan carilah ilmu sebagai pemangkin anda.

5. Mohon petunjuk dari Allah. Hakikatnya Dia jugalah Penggerak hati kita, maka selayaknya kepada Allah kita mengadu dan berharap.

6. Teruskan bahagia dengan Allah. Rasakanlah kesyukuran itu sebagai penguat terbaik kita untuk terus berusaha.

D + U + I + T

Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal... itu penutupnya. Moga Allah redha dengan titik permulaan yang kita pilih. Moga diberi petunjuk terbaik buat kita semua. Apa lagi ditunggu? Carilah titik itu... mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.

Tuesday, September 20, 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...