Thursday, March 24, 2011

My Favourite - BLUEBERRY CHEESE TART

 

BAHAN-BAHAN

UNTUK DOH PASTRI
250gm butter 
80gm icing sugar
2 biji telur
440gm tepung gandum
1 teaspn esen vanila 

KAEDAH PENYEDIAAN
1. Satukan semua bahan dan uli sehingga menjadi doh.
2. Ambil sebahagian kecil doh dan tekankan dalam acuan tat. Sila rujuk gambar di atas.
3. Cucuk-cucuk pastri menggunakan garpu dan bakar doh pastri selama 8-10 minit atau sehingga separuh masak pada suhu 175 darjah cel.  
4. Sementara itu sediakan bahan isian cheese.

FILLING
250g Philadelphia cream cheese
60g gula caster
20g butter
1 'B' egg

BLUEBERRY FILLING
1. Untuk filling, pukul cream cheese, gula dan butter sampai kembang, masuk telur dan pukul hingga rata.Masukkan dalam piping beg.
2. Pipekan cheese dlm pastry dan sudukan 1/4 sudu kecil blueberry. Buat corak ikut suka.
3. Bakar 180C dalam 5-10minit. 
 
Angkat.

MAS KAHWIN Menurut Islam


Perkara yang harus diperhatikan bila memilih jodoh [yang berkaitan dengan persoalan wanita] demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah ringan mas kahwinnya.

Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima dirham.
Said Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairah r.a dengan maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.
Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahawa antara keberkahan seorang wanita ialah melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula maskahwinnya.
Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki, demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga si wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi.
Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan maksud ayat berikut:
“Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.” [Al-Muddatstsir: 6]

Pemakaian Cincin Mengikut Islam

  
Nasihat Nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali sesudah Saidina Ali berkahwin dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin, pakailah di jari:
  • 1] Jari Manis
  • 2] Jari Kelingking [anak jari]
dan janganlah memakai pada jari
  • 1] Jari Tengah
  • 2] Jari Telunjuk
Nabi Muhammad SAW melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka dizaman Nabi Lut a.s.
Perhatian: Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan. Muslimin dan Muslimat, sila nasihatkan kawan-kawan dan juga saudara-mara ataupun anak-anak tentang kaedah yang betul untuk berhias di dalam syariat Islam, kalau tidak sia-sia saja kita mendapat kecelakaan dari Allah dan kalau kita memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Nabi S.A.W maka dapatlah kita akan pahala.
Adapun tentang jari mana yang hendak didahulukan ketika memotong kuku, al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani [10/345] menyebut:
“Tidak thabit dalam tertib jari-jari ketika memotong kuku sesuatu hadithpun… Ibn Daqiq al-’Ied telah mengingkari bentuk [memotong kuku] yang telah disebut oleh al-Ghazali dan orang yang mengikutnya, dengan berkata: “Semua cara-cara itu tidak ada asalnya, dan untuk mengatakan ia suatu yang digalakkan, ianya suatu yang tidak ada dalilnya, ia merupakan suatu yang tercela di sisiku, sekiranya seseorang menggambarkan, cara memotong kuku dimulakan dengan jari telunjuk tangan kanan disebabkan kemuliaannya, maka jari-jari yang lain, dia tidak akan dapat menentukannya dengan cara itu. Ya! memulakan dengan yang kanan samaada tangan ataupun kaki itu ada asalnya, kerana Nabi S.A.W. suka memulakan sesuatu dengan sebelah kanan.”

Pesanan Buat SUAMI!



1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan atau cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..
4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.
5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing n berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.
7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.
9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?
11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.
13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?
15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah atau menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
17. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.
20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.
22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
23. Jangan buat dont know kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.
Allah s.w.t. berfirman, “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan”

Fesyen Tudung Bersanggul...






Oleh: Nik Noor Azman Ghazali

Sanggul yang saya maksudkan adalah seperti dalam gambar disebelah. Memakai tudung yang menampakkn bonggolan dikepala. Jadi, sebab tadi saya dah terbaca berkaitan pemakaian tudung sebegini, jadi semestinya saya share dengan anda semua. 


Renungkanlah hadith-hadith dibawah:
“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka [isteri mereka atau anak perempuan], berpakaian tetapi seperti bertelanjang [nipis & ketat].

Di atas kepala mereka pula [wanita] terdapat bonggolan [sanggul atau tocang] seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat” - Hadith Riwayat Ahmad.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang.
Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” - Hadith Riwayat Muslim. 

Wednesday, March 23, 2011

Sabar Itu Perlu Setiap Masa...


SABAR... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.
Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.
Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.
Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula Suami Isteri'.
Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.
Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.
Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.
Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka bersabarlah [wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu], dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya...
[Surah Al-Ma'aarij: Ayat 5]
Ya, saya suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik.
Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh.
"Asyik sabar je, penat dah sabar ni!"
Kita tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.
Apabila kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan.  Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.
Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu. Kita yang perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar. Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada kehidupan kita ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk bersabar, InsyaAllah kita diberi ketenangan untuk membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.
Saya bagi satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani kehidupan dengan seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri. Setiap tindakannya pasti memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa menjadi mangsanya. Setiap perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat kita berkecil hati. Di sini, anda hanya ada dua pilihan, memilih untuk terus bersabar dan bertahan sepanjang anda menjalani kehidupan dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya akibat sakit hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda mampu menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih untuk bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan persahabatan itu sendiri.
Namun sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya dan kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang teraniaya itu.
Sebelum kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.
Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.
Jika kita mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.
Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang lain tidak mencari salah kita.  Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat.

Mengapa WANITA Memerlukan LELAKI?!


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan! Cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya! Apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki?!
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik.InsyaAllah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...